5 June 2011

PENGGUNAAN TEKNOLOGI ICT DALAM PENGAJARAN BAHASA

Pengenalan

“Pendidikan bertaraf dunia” sebagai wacana dalam dasar pendidikan negara meletakkan proses pendidikan sebagai satu bidang yang penting dalam kehidupan seharian khususnya di sekolah-sekolah yang berfungsi sebagai institusi perkembangan ilmu. Pengiktirafan yang diberikan terhadap bidang pendidikan membawa satu implikasi dan impak yang serius terhadap profesion perguruan yang secara langsung terlibat dalam sistem penyampaian ilmu. Pendidikan bertaraf dunia mempunyai wawasan ke arah melahirkan generasi yang mengamalkan budaya fikir, kritis, kreatif dan inovatif. Hanya manusia yang berbudaya fikir dapat bersaing di medan antarabangsa serta menjana idea ke arah pembangunan tamadun ilmu, masyarakat, budaya, bangsa dan negara.     Tahun 2004 bukan sahaja berkehendakkan manusia mengamalkan budaya fikir tetapi bersama-sama menggabungkan penggunaan teknologi dalam sebarang bentuk tindakan. Perkembangan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta penggunaan komputer dalam bidang pendidikan menjadikan ilmu lebih mudah diakses, disebar dan disimpan. Manakala kecanggihan serta kemampuannya menyampaikan sesuatu maklumat secara cepat, tepat dan menarik dalam bentuk multimedia menjadikannya sebagai satu daya tarikan ke arah mewujudkan satu senario belajar yang lebih menyeronokkan.
     Dalam hal ini profesion perguruan pada alaf baru ini haruslah mampu menguasai dan menggabungkan kemahiran-kemahiran yang berkaitan untuk melahirkan satu bentuk pendidikan yang lebih bermakna dan bestari. Walau bagaimanapun dalam bidang pendidikan sekarang, kecanggihan teknologi melalui persembahan multimedianya bukanlah hanya faktor yang boleh menjadikan proses pembelajaran itu berkesan. Keberkesanan dan kebestarian sesuatu pengajaran itu masih banyak bergantung pada faktor manusia iaitu guru yang membuat perancangan. Teknologi hanyalah sebagai faktor pemangkin ke arah mempercepatkan proses keberkesanannya, manakala kemahiran dari aspek pedagogi serta psikologi adalah diperlukan.
Oleh itu guru harus mampu mengintegrasikan ketiga-tiga aspek pedagogi, psikologi dan teknologi dalam proses penyampaian ilmu. Usaha ini harus dilakukan secara berterusan ke arah melahirkan seorang pelajar yang berfikirkan kritis dan kreatif, seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmani serta dapat hidup dalam keadaan yang harmonis yang berpegang teguh pada agama dan kepercayaan pada Tuhan seperti mana yang terdapat dalam Falfasah Pendidikan Negara.
     Namun begitu, terdapat kajian yang membuktikan bahawa kesediaan guru menggunakan teknologi maklumat di dalam pengajaran bahasa ke atas 392 orang guru bahasa menunjukkan majoritinya guru-guru masih takut untuk menggunakan komputer dalam pengajarannya. Aplikasi komputer yang kurang dalam pengajaran bahasa di sekolah-sekolah adalah disebabkan guru-guru tidak mempunyai kemahiran dan latihan yang secukupnya (Norizan Abdul Razak, 1997). Dengan ini, kerajaan perlu melipat gandakan usaha menangani masalah tersebut terutama di kalangan guru-guru.
     Sebenarnya, kemajuan pesat dalam bidang teknologi maklumat telah membawa banyak perubahan terhadap kaedah pengajaran bahasa. Daripada kaedah konvensional di dalam bilik darjah, pengajaran bahasa kini telah berkembang kepada kaedah pengajaran yang baru, iaitu pengajaran bahasa di alam siber. Dengan kaedah baru ini, para pendidik bahasa dapat berkomunikasi dan mengajar melalui komputer yang dihubungkan dengan modem dan perisian komunikasi. Pengajaran yang menggunakan kaedah baru ini dapat membantu mengembangkan penggunaan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Melalui internet, penggunaan bahasa Melayu melewati batas geografi dan waktu. Hal ini demikian kerana internet merupakan satu jaringan antarabangsa yang menghubungkan lebih 30 000 jaringan di lebih 100 buah negara. Internet kini mempunyai lebih 20 juta pengguna di seluruh dunia dan bilangan pengguna ini semakin bertambah dengan penurunan harga komputer dan perisian komunikasi (Laudon, Traver dan Laudon 1996).
     Memandang bahawa penggunaan teknologi maklumat ini masih baru dalam sistem pendidikan di Malaysia, para pendidik bahasa perlu mempunyai literasi teknologi dan memahami keperluan komunikasi secara global. Hal ini dapat membantu para pendidik menerapkan kaedah ini dengan berkesan. Penulisan ini akan memberikan tumpuan kepada kaitan antara komunikasi di alam siber dengan praktis pengajaran bahasa yang penggabungannya akan melahirkan satu komuniti baru, iaitu komuniti elektronik (electronic community) dan bentuk komunikasi di alam siber yang dikenal sebagai komunikasi pengantaraan komputer (computer mediated communication). Penulisan ini akan turut membincangkan aspek pedagogi komunikasi pengantaraan komputer, seperti bentuk pengajaran yang komunikatif dan interaktif. Penulisan ini seterusnya akan menyarankan kemahiran yang diperlukan oleh para guru bahasa untuk bersama-sama memasuki alam pengajaran siber dan peranan institusi pendidikan guru dalam perkembangan ini. Selain itu, penulisan ini akan turut menyingkap kemungkinan komunikasi pengantaraan komputer dijadikan sebagai satu kaedah perundingan antara pelajar dengan pendidik dalam pengajaran bahasa.
     Menurut Laudon dan Laudon (1996), teknologi maklumat merupakan gabungan teknologi komputer dan sistem komunikasi yang membolehkan teks, bunyi, video, dan animasi disalurkan melalui talian. Komputer dengan kemudahan lebuh raya maklumat merupakan satu jaringan yang meliputi kawasan yang luas, mempunyai kepantasan yang tinggi, dan menawarkan beberapa perkhidmatan jaringan. Dengan hal demikian, teknologi ini dapat digunakan untuk membantu pelbagai urusan dan kegiatan, seperti perniagaan, pentadbiran, penyelidikan, dan pendidikan. Antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh teknologi ini termasuklah mel elektronik, papan buletin, dan laman web yang membolehkan para pendidikan berkomunikasi dan mengajar dengan menggunakan talian komputer.
     Pengajaran siber tidak memerlukan kehadiran di dalam kelas atau kehadiran pelajar sewaktu syarahan. Walau bagaimanapun, satu bentuk komunikasi yang interaktif perlu diwujudkan untuk membangkitkan suasana yang kondusif dan praktikal untuk pembelajaran. Pelajar dan guru berkomunikasi melalui mel elektronik, persidangan komputer, forum elektronik, papan buletin, dan laman web. Pengajaran siber ini dijangka menjadi amalan pengajaran bahasa Melayu pada masa hadapan. Untuk menjadikannya suatu kenyataan, guru haruslah mempunyai pengetahuan tentang komunikasi pengantaraan komputer yang menjadi asas pengajaran siber.


 Apakah itu Komputer
     Komputer boleh ditakrifkan sebagai satu alat yang boleh ditakrifkan sebagai satu alat yang boleh menerima maklumat, mengguna beberapa prosedur pemprosesan kepadanya dan mengemukakan hasil maklumat baru dalam bentuk yang sesuai kepada penggunanya. Kebanyakan komputer elektronik moden, terutama sekali komputer yang digunakan untuk tujuan pendidikan, merupakan komputer digital. Apa yang dimaksudkan komputer digital ialah maklumat yang ada ditukar kepada bentuk digital ( iaitu kepada satu kod yang berasaskan kepada sistem nombor dwi, yang hanya menggunakan dua simbol iaitu 0 dan 1) sebelum diproses. Komputer yang direka bentuk untuk mengendalikan data yang tidak ditukar kepada bentuk digital dikenal sebagai komputer analog, dan banyak digunakan untuk tujuan saintifik atau teknikal yang khusus.
 Sejarah dan Perkembangan Komputer.


     Pembelajaran berkesan adalah pembelajaran yang menyeronokkan. Keseronokan belajar adalah sesuatu yang diharapkan oleh semua golongan guru terhadap pelajar-pelajarnya. Keseronokan membawa implikasi pelajar tertarik dan berminat hendak belajar, manakala guru pula mempunyai strategi yang boleh mendorong pelajar-pelajarinya memberi tumpuan serta mengambil bahagian yang menyeluruh dalam proses pengajaran pembelajaran.
     Situasi ini dapat diwujudkan sekiranya guru dapat menyampaikan pengajarannya dengan bantuan media pengajaran. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah dapat mempelbagaikan perkakasan dan perisian dalam sistem penyampaian. Bermula dengan interaksi secara lisan, manusia mula berkomunikasi dengan mencatat di atas batu, daun hinggalah berlakunya perkembangan teknologi kertas dan
percetakan. Seterusnya teknologi fotografi telah berkembang yang menyebabkan terdapatnya gambar-gambar yang dapat digunakan sebagai rujukan disusuli pula dengan media elektronik seperti radio, televisyen, filem, video, VCD, DVD dan perkembangan terakhir dengan adanya teknologi multimedia seperti penggunaan CD-ROM, internet dan e-pembelajaran (e-learning).
     Walaupun perkembangan seumpama ini banyak memberi sumbangan terhadap dunia hiburan tetapi tidak dapat disangkal dalam pendidikan perkembangan ini dapat memberi kesan yang positif dalam proses pembelajaran. Sebagai seorang guru, perkembangan yang begitu mencabar ini harus dianggap sebagai satu peluang ke arah mempelbagaikan strategi dan memantapkan sistem penyampaian ke arah yang lebih berkesan, dinamik, menyeronokkan dan menghiburkan.
     Pengenalan kepada persekitaran pembelajaran bestari adalah merupakan satu senario dalam pendidikan alaf baru di Malaysia bersesuaian dengan perkembangan teknologi, sosial dan budaya masa kini. Perkembangan seumpama ini memerlukan sesebuah institusi pendidikan menggabung serta memberi penekanan sebijak mungkin terhadap komponen yang terdapat dalam strategi pembelajaran.
     Usaha ini ialah ke arah mewujudkan suasana pembelajaran dan persekolahan yang lebih bermakna dan berkesan di mana guru-guru bukan lagi pendeta di atas pentas (sage by the stage) tetapi sebagai pembimbing di sisi (guide by the side) untuk menyampaikan pengajaran secara lebih berkesan.
     Keberkesanan pendidikan ini dapat dilihat melalui peranan guru dan pelajar dalam proses pembelajaran melalui kurikulum yang lebih mantap dan bersepadu. Pengajaran guru yang bersifat “pembimbingan di sisi” harus mempunyai ciri-ciri yang boleh menjana pemikiran pelajar ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Dalam hal ini guru haruslah berusaha untuk menggunakan pelbagai pendekatan ke arah mengoptimumkan potensi pelajar dalam proses mencari ilmu. Ia perlu menanamkan sifat yang boleh berdikari serta proaktif dalam segala tindakan.
     Amalan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah seharusnyalah tidak lagi tertumpu hanya dengan membekal maklumat dan memberi jawapan berdasarkan soalan serta menggunakan bahan yang terhad sahaja. Apa yang harus dilakukan ialah membekal tugasan yang lebih mencabar terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam sesuatu pakej pembelajaran yang memerlukan analisis dan penyiasatan secara kooperatif dan kolaboratif dalam menyelesaikannya.
     Begitu juga mengemukakan soalan-soalan yang berkehendakkan lebih banyak berfikir dan menjana minda serta menggunakan banyak bahan daripada sumber-sumber yang mudah didapati hasil daripada perkembangan teknologi ke arah memenuhi dan mencapai hasil pembelajaran.

10 comments:

  1. kalau guru aktif mencari sesuatu yang baru pastinya murid akan proaktif juga.Semoga P&P cikgu makin cemerlang.Tahniah

    ReplyDelete
  2. penggunaan Ict dalam pengajaran akan menambah pengetahuan murid dan memudahkan proses pengajaran.

    ReplyDelete
  3. dah lama dah saya mmeperjuangkan penggunaat ict dalam p&p bahasa..insyaallah akan ramai lagi yang menggunakannya pada masa depan

    ReplyDelete
  4. Telah dilawati. ICT amat penting pada zaman sekarang. Setiap orang perlu menguasai ICT.

    ReplyDelete
  5. Tidak dapat dinafikan lagi,ICT amat penting terutama dalam bidang pendidikan ini.

    ReplyDelete
  6. Sekarang ini murid telah didedahkan dengan penggunaan ICT ini berbeza dengan zaman persekolahan dahulu.Ini menunjukan penggunaan ICT amat penting.

    ReplyDelete
  7. Tahniahhh cikgu..meriahhh blog ni..:))

    ReplyDelete
  8. Antara blog yang menarik yang pernah saya lawati.... Colourfullllll....

    ReplyDelete
  9. blog cikgu banyak info yang menarik...

    ReplyDelete
  10. ICT memang memudahkan tugas guru dalam banyak cara

    ReplyDelete